1. Semasa saya di sekolah rendah, cikgu selalu bertanya tentang cita-cita saya untuk ditulis dalam kad 001. Kebanyakan cita-cita yang saya ingat adalah untuk menjadi polis, bomba atau askar. Saya tidak ingat sama ada cikgu saya gelak atau tidak bila saya kata mahu jadi askar, polis atau bomba. Tapi kalau saya jadi cikgu saya ketika itu, saya akan gelak guling-guling. Mujurlah saya tidak jadi cikgu sekolah, kalau tidak mesti banyak murid saya tukar sekolah. Cita-cita itu timbul mungkin kerana ketika itu saya banyak menonton aksi-aksi Robocop atau Cybercop yang penuh aksi di talibesen(TV) menyebabkan saya terpengaruh untuk menjadi seperti mereka, sebagaimana remaja-remaja sekarang terpengaruh untuk menjadi artis kerana banyaknya program berunsur hiburan di talibesen sekarang. Lagipun ketika itu saya masih kecil, manalah ada masa untuk memikirkan cita-cita secara serius. Apa yang saya banyak fikir ketika itu ialah nak main apa lepas habis sekolah, atau cerita kartun apa yang ada di TV. Tidak pernah pula seingat saya ketika saya kecil saya memikirkan masa depan, hal rumahtangga atau, pertumbuhan ekonomi negara apatah lagi masalah ummah.
2. Ketika di sekolah menengah, akal sudah mula berfikir secara rasional, maka cita-cita pun berubah. Disebabkan saya bersekolah di sekolah berasrama penuh yang penuh asmara, dan saya telah memilih aliran sains teknikal, maka cita-cita saya pun secara automatik adalah menjadi jurutera. Mungkin kerana profesyen jurutera yang nampak lebih otai dan lasak menyebabkan saya memilih aliran teknikal berbanding aliran biologi. Tapi apa yang pasti adalah saya lebih suka berurusan dengan objek tidak bernyawa seperti mesin daripada berurusan dengan manusia. Apa punya manusia agaknya saya ini. Tapi sekarang setelah membaca buku 'Healing with the medicine of the Prophet' karangan Ibn Al-Qayyim saya rasa perubatan adalah satu bidang yang menarik kerana secara langsung kita akan belajar betapa agung kuasa Allah melalui ciptaan makhluk-makhlukNya. Perkara ini juga sebenarnya terdapat dalam bidang kejuruteraan dan dalam apa-apa jua bidang pun cuma memerlukan penghayatan yang lebih untuk mendapatkannya.
3. Sekarang saya sudah dewasa dan lebih matang. Saya lebih kenal dunia, saya lebih kenal agama saya, saya lebih kenal nabi saya, saya lebih kenal Rabb saya. Saya sudah tahu yang cita-cita saya dahulu semuanya adalah sesuatu yang tidak pasti belaka malah tidak dapat menjamin kebahagiaan saya sekaligus tidak berbaloi untuk dijadikan sebagai 'goal' saya. Selama ini saya telah berusaha, belajar bersungguh-sungguh, berkorban wang ringgit dan masa untuk mencapai cita-cita yang tidak pasti itu sedangkan usaha dan persiapan saya untuk menghadapi suatu yang pasti iaitu mati dan apa yang menyusul selepasnya adalah sangat sedikit. Sekarang cita-cita saya di dunia hanyalah khusnul khatimah (pengakhiran hidup yang baik) yang saya harap akan saya kecapi ketika saat terakhir bernafas di bumi milik Allah ini. Dengan knusnul khatimah saya yakin masa depan akan menjadi cerah secerah pawana walaupun saya tidak tahu apa itu pawana. Kebahagiaan yang kekal abadi juga akan terjamin untuk dinikmati selama-lamanya. Insya-Allah.
4. Saya menyeru sahabat sekalian untuk bersama memikirkan kembali arah tuju kita. Ambillah sedikit masa memikir dan merenung nasib kita bila roh keluar meninggalkan jasad buat selama-lamanya kerana hanya dengan itu kita akan tahu apakah yang sepatutnya kita impikan dalam kehidupan dunia yang sementara ini.
Ini milling machine. Semua jenis besi selambe je dia tibai. Senang bekerja dengan mereka kerana mereka tidak banyak soal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan