Selasa, 12 Oktober 2010

Konvokesyen



1. Minggu lepas mungkin minggu konvokesyen kerana banyak kawan-kawan saya yang upload gambar mereka konvo di Pesbuk. Tahniah saya ucapkan kepada mereka. Semoga terus berjaya di dunia dan akhirat.

2. Di sini kami tiada majlis konvokesyen. Saya akan menerima sijil saya daripada posmen yang menghantar sijil ke rumah. Ataupun jika sijil dapat dikeluarkan awal bolehlah saya mengambil sijil daripada kerani universiti.

3. Tapi saya tidaklah kecewa kerana tiada majlis konvokesyen kerana saya memang berpendapat tidak perlu konvokesyen. Begitu juga dengan rakan-rakan sekelas saya. Terlalu banyak protokol dan formaliti hanya untuk sekeping sijil. Apatah lagi sekeping sijil yang belum tentu boleh menjamin masa depan kita.

4. Lagipun saya dah pernah konvokesyen lebih kurang 20 tahun yang lalu.


Grad tadika 20 tahun yang lalu

5. Dan yang lagi pasti saya dan anda semua akan melalui satu lagi majlis konvokesyen di Hari Pembalasan kelak. 'Sijil-sijil' kita akan berterbangan pada 'hari konvokesyen' itu menuju ke tangan kita. Andai kata sijil itu menuju ke tangan kanan kita nescaya beruntunglah kita. Tapi jika sijil kita menuju ke tangan kiri kita nescaya tergolonglah kita di kalangan orang-orang yang rugi dan binasa.

6. Dalam sijil itu akan tercatat segala amalan yang telah kita kerjakan di dunia biarpun nilainya sebesar zarah. Dengan sijil itu ditentukan sama ada kita ahli neraka atau ahli syurga. Pada masa itu tidak berguna lagi sijil Diploma, Bachelor, Master, atau Doktor yang kita impi-impikan di dunia.

7. Pada hari itu tidak semuanya bergembira seperti hari konvokesyen di dunia. Pada hari itu semua gelisah menanti keputusan 'ujian dunia' yang telah dilalui. Pada hari itu juga anak-anak lari dari ibu-bapa mereka, suami lari daripada isteri. Semuanya kerana bimbang hak-hak dunia akan dituntut.

8. Sesungguhnya 'hari konvokesyen' yang sebenar itu adalah hari yang penuh dengan huru-hara. Tidaklah indah seperti seperti hari konvokesyen kita di dunia.

Semoga kita digolongan di kalangan mereka yang menerima buku amalan di tangan kanan.