Isnin, 13 Julai 2009

Cerita Pasal Hidayah (awek lama)


Salamun,

Selamba dua bulan tak update.Sikit punya istiqamah aku ni.Podah.

Kali ini mau cerita pasal Hidayah.Mula-mula....

Anda kenal Yusuf Islam? Dulu nama Cat Stevens.Dulu nyanyi tak ingat dunia sekarang nyanyi ingat akhirat.

Anda kenal Azmil Mustapha? Dulu berlakon Ali Setan sekarang dah tak kawan dengan setan

Anda kenal Sakti Sheila On 7? Dulu main gitar sekarang main sitar (ini tipu,takdak idea)

Tapi aku mmg mahu cerita pasal lelaki sakti ini. Sebab Sakti ini sezaman dengan aku. Zaman Cat Stevens aku tak sempat. 1980 dia dah stop main musik. Zaman Thunder Cat tu pun aku sempat sikit-sikit je. Zaman Azmil Mustapha pun aku tak ingat bila. Awal 90-an kot. Kalau time tu aku gila-gila remaja mungkin aku layan dia. Tapi time tu baligh pun belum lagi. Tengok perempuan hot cerita hindustan pun tak stim. Azmil ni bukan berlakon cerita Kartun. Kalau berlakon cerita Kartun mungkin aku ingat. Tapi kalau Sheila on 7 ni budak sekolah asrama mana tak kenal. Asrama Puteri, Asrama Penuh, Asrama rama, semua kenal. Itupun kalau lu orang sekolah asrama sekitar tahun 1999 dan seterusnya. Kalau 1989, mungkin lu org kenal Band yang bernama M Daud Kilau. Ini band memang metal habis.

Paling famous masa tu adalah lagu Sephia. Yang tak hafal doa qunut pun bleh hafal lirik lagu ni. Punya la keramat. Lepas tu lagu Seberapa Pantas pulak. Lepas tu apaapajadah tajuk la tak ingat. Tapi konfemnya memang menjadi siulan remaja. Kaset Sheila On 7 tu kira hot stuff. Lepas sorang sorang nak pinjam. Kalau ada ringtone Sheila on 7 pulak memang kau cool la time tu. Monofonik je padahal. 3310 pulak tu. Tapi itu dulu sudah kira teknologi. Mahu jadi cerita...

Perjalanan Sakti menuju Hidayah.

SAKTI selepas dua tahun melepaskan segala kemewahan lebih senang tampil dengan jambang, kerana mengikut sunah nabi. Ketika ditemu bual, Sakti menjaga tertib matanya dengan tidak memandang penulis.

DIKENALI sebagai pemain gitar kedua grup terkenal Indonesia, Sheila On 7 (SO7), Sakti yang duduk di hadapan kami, berkata, hari ini cukup berbeza dengan apa yang pernah dilihat sepanjang pembabitannya dalam industri lebih enam tahun lalu.

Dalam pertemuan eksklusif yang diatur teman di kediaman Eross di Yogyakarta, Indonesia itu, kelihatan mukanya dijalari janggut, menyarung baju dan seluar khakis polos. Bicaranya teratur. Sakti membuka lembaran sejarah hidupnya – dari zaman jahiliah kepada seorang yang cukup patuh terhadap Islam.

“Saya takut mati dan api neraka itu maha dahsyat,” luah Sakti serius. Perasaan takut mati itu terdetik selepas dia terpandang sebuah buku dengan judul Menjemput Sakaratul Maut Bersama Rasulullah di dalam sebuah kedai buku di Lapangan Terbang Yogyakarta sewaktu mahu ke Malaysia menghadiri majlis Anugerah Industri Muzik dua tahun lalu(2006 la kot)

“Saya masuk ke sebuah kedai buku, ternampak buku ini dan fikiran saya berputar tentang senario kapal terbang yang kerap terhempas.

“Saya bayangkan kalau kapal terbang saya terhempas dan saya mati, apa bekalan yang saya ada? Saya tiada apa-apa. Tapi saya percaya mati tetap akan datang kepada saya pada bila-bila masa,” ceritanya yang kemudian membeli dan habis membaca buku tersebut sepanjang kembara ke Malaysia.

Kembali ke Indonesia, dia terus dibelenggu perasaan takut mati selepas menjaga ibunya yang sakit di hospital selain membaca sebuah tabloid yang menyiar isu kematian. Insiden yang berturut ini, kata Sakti, sebagai satu petunjuk agar dirinya berubah.

Dilepaskannya status pemain gitar SO7 saat grup ini sedang berada di kemuncak.

“Saya tekad membuat keputusan dan tidak berasa rugi melepaskan status artis pada zaman kegemilangan kami kerana saya sendiri sudah tidak boleh memberi fokus pada hiburan.

“Adakah saya menyesal melepaskan kemewahan dunia? Tidak sama sekali kerana saya lebih rela menyesal dan melepaskan semua di dunia sebelum saya dijemput ‘pulang’.

“Saya tidak mahu menyesal di akhirat kelak dan tidak terbayang panas api di sana,” kata Sakti yang turut mengaku kerap menangis mengenang dosa silam.

Usai rasmi keluar dari SO7, anak kedua daripada tiga beradik ini berangkat ke Pakistan (menuntut di sebuah masjid di Rewin) dalam usahanya mendasari semula asas seorang Islam sejati selama dua bulan sebelum kembali ke Indonesia dan menimba ilmu daripada para ulama di negara sendiri.

“Di Pakistan saya diajar menyayangi agama Islam sebagai sebuah agama yang indah.”

Lantas sewaktu disuakan hal tentang zaman jahiliahnya dahulu, Sakti tersenyum dan berkata: “Dulu saya pemabuk,” katanya tanpa selindung dan menambah: “Saya mula minum alkohol sejak zaman sekolah, bukan semasa jadi artis. Saya hanya berhenti minum pada usia 26 tahun sewaktu mahu beralih menjadi umat Islam yang sebenar.”

Tambah Sakti, solat lima waktu juga selalu rompong, jauh sekali solat Jumaat yang akuinya paling jarang dilakukan. Sebaik mendapat hidayah dan memahami disiplin kehidupan yang telah ditentukan Tuhan, dia cukup takut untuk meninggalkan solat.

Apa lagi saat mengenangkan kalau tiba-tiba dirinya dijemput ‘pergi’ tanpa sempat ‘bermanja’ dengan Tuhan.

Tanpa kemewahan, kata suami kepada Miftahul Jannah, 23, dia menjalani kehidupan kini serba sederhana sambil mengusahakan sebuah kedai dobi dan kedai mini sejak tiga bulan lalu di kampung halamannya.

Ditanya tidakkah rindu untuk memeluk keenakan hiburan, pantas dia menggeleng. Namun dia masih menyentuh gitar.

“Tapi bukan untuk dipertontonkan seperti dulu. Saya juga masih mendengar muzik, tapi lebih senang kepada nasyid atau memuji Islam seperti karya-karya Yusuf Islam. Muzik rock sudah jarang,” ujarnya yang tidak pernah menganggap hiburan sebagai perosak jiwa, tetapi ia menjadi rosak dengan penerimaan yang salah.

Sedang menghitung waktu untuk menggarap album berbentuk Islamik bersama seorang teman, Sakti saat diminta menyimpulkan kehidupannya kini memberitahu: “Nikmat punya agama seindah Islam memberi efek luar biasa dalam hati saya.

“Apa yang saya bimbangkan kini jika Tuhan menterbalikkan hati saya seperti dahulu. Nauzubillah, kerana saya mahu terus berada dalam hidayahnya sehingga saya mati.”

Wajah Sebelum


Wajah Selepas

Tammat.

Subhanallah. Betapa indahnya hidayah Allah SWT. Manusia yang dulu pemabuk, jahil kini dipilih Allah untuk dekat denganNya. Bagaimana kita? Adakah telah diberi Hidayah jika hati masih sibuk dengan dunia. Time sembahyang pun masih ingat dunia. Bilanya nak ingat akhirat? Ingat mati?

Sangat takut bila dibayangkan akhirat nanti bila amalan nak ditimbang. Hidup 50-60 tahun(kalau panjang umur), tapi amalan tak sampai setahun lepas tolak amalan yang tak diterima sebab tak ikhlas, tak sah , ada riyak dll. Nauzubillah. Lu kipirlah sendiri. Semoga kita dijauhkan dari azab api neraka.

Jadi sentiasa la kita berdoa mintak hidayah, supaya akhirat esok tak menggelabah, sebab kita mungkin masih belum dapat hidayah....

Wassalam

Tiada ulasan: