Sabtu, 18 Julai 2009

Cerita Jalanraya





Salamun,

Satu hari saya baru pulang dari Media Markt (sebuah pasaraya terkemuka di eropah menjual barangan elektrik dan elektronik). Ketika itu saya baru memiliki Xbox360 maka haruslah saya membeli DVD permainan bola sepak yang mencabar. Selesai urusan pembelian saya pun keluar dari pasaraya itu. Akibat keterujaan (hati berbunga-bunga kata orang lama) yang amat sangat untuk bermain permainan itu saya membelek-belek DVD itu sambil tersenyum puas dan berjalan menuju ke eskalator. Tiba di eskalator saya tersentak. Pergerakan saya menjadi tidak berharmoni dengan konsep translasi eskalator itu. Rupa-rupanya saya berada di lorong yang salah. Saya sepatutnya berada di eskalator sebelah kanan namun saya berada di sebelah kiri. Saya berkata 'aiseh' di dalam hati sambil berharap tiada sosok-sosok manusia yang memerhatikan kejadian itu. Malangnya betul-betul di belakang saya ada seorang wanita 50-an sedang ketawa kecil. Saya pun memberi alasan bahawa ini adalah akibat kebiasaan di negara asal di mana aturan eskalator untuk turun dan naik adalah sebaliknya. Mujurlah dia seorang yang memahami. Rupa-rupanya dia sendiri sudah terikut dengan saya untuk menuruni eskalator di sebelah kiri. Sebab itu dia ketawa. Kuranglah rasa malu saya kalau begitu. Mujur juga saya menyedari dengan cepat saya berada di lorong yang salah, jika tidak pasti makcik itu akan melanggari saya dan menghimpap saya dan kami akan jatuh eskalator, tapi tidak jatuh ke bawah kerana eskalator itu menuju ke atas. Maknanya kami akan jatuh ke atas dan ini bermaksud Hukum Newton tidak lagi relevan.WTF.

Saya terfikir mengapa ini terjadi? Kenapa wujudnya sistem yang berlainan di sini dan di Malaysia? Sistem yang saya maksudkan adalah dua sistem jalan raya "keep left" dan "keep right". Di Malaysia "keep left" dan di sini "keep right". Jika kita berjalan kaki di laluan pejalan kaki di Malaysia, kita akan cenderung untuk berada di sisi kiri jalan dan orang dari arah bertentangan akan cenderung untuk ke sisi kanan jalan, dan itu adalah sebaliknya di Eropah. Begitulah juga kesnya di jalan raya, eskalator, dan tangga. Perkara ini merupakan salah satu kejanggalan saya ketika baru tiba di Germany selain daripada kejanggalan melihat anjing-anjing sebesar anak lembu atau anjing berpakaian dibawa bersiar-siar oleh tuannya dan juga melihat orang-orang berjalan menggunakan dua batang ski (ski poles) ketika tiada salji (Rupa-rupanya sejenis sukan yang dikenali di sini dengan nama Nordic Walking). Walaupun hari-hari saya berjalan di atas jalan atau lorong tapi hanya pada hari tu selepas 21 tahun saya berjalan di atas jalan, selepas 4 tahun saya memandu di atas jalan, barulah saya berfikir tentang perkara tentang hal ini. Memanglah banyak perkara lain yang perlu difikirkan tapi saya punya banyak masa terluang untuk berfikir. Jadi saya pun fikirlah.Wah.Bahasa Malaysia aku masih mantap.

Saya pun menonton Wikipedia dan diceritakan ketika zaman kerajaan Rom mereka memilih untuk memandu atau berjalan di sebelah kiri sebagai langkah mempertahankan diri kerana mereka memegang pedang di tangan kanan untuk mempertahankan diri daripada musuh dari arah bertentangan dan untuk bersalaman dengan sahabat-sahabat mereka daripada arah bertentangan dengan lebih mudah. Manakala pemanduan sebelah kanan pula adalah kerana dahulu penunggang kuda perlu menyebat bontot kuda dengan "whip" menggunakan tangan kanan dan mungkin untuk mengelakkan terlibas muka penunggang kuda dari arah bertentangan dan seterusnya hati menjadi panas dan tercetus pergaduhan libas-melibas. Mungkin juga daripada kejadian sebeginilah wujud sukan "Fencing".

Saya juga mendapat tahu pada hari ini majoriti negara-negara dunia memandu di sebelah kanan, RHT(Right Hand Traffic; jangan keliru dengan right hand drive), seperti di USA, Kanada, Russia, Semenanjung Arab, Utara Afrika, Thailand dan banyak lagi negara. Kebanyakan negara Komanwel pula masih dengan sistem yang ditinggalkan di zaman kolonial British iaitu memandu di sebelah kiri, LHT(Left Hand Traffic). Sejak 1919 lebih dari 30 negara telah menukar sistem jalan raya daripada LHT kepada RHT dan tiada satu haram negara pun yang bertukar dari RHT ke LHT. Apakah misteri di sebalik transisi satu hala ini? .Mengapa tiada negara mahu bertukar kepada pemanduan di sebelah kiri bahkan semua transisi adalah dari kini ke kanan? Saya pun berfikir lagi.Dan tertidur.

Selepas bangun tidur saya membaca lagi dan mendapati salah-satu hipotesisnya mungkin kerana faktor geografi negara. Apabila negara-negara jiran kebanyakan menggunakan sistem RHD, pastilah lebih menguntungkan dari aspek ekonomi dan keselamatan jika kita turut menggunakan sistem yang sama. Hipotesis mudah lain pula adalah bukankah lebih baik jika bertukar dari kiri ke kanan kerana kita diajar di dalam subjek Akhlak di bawah tajuk Adab untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mulia dengan anggota yang kanan. Jadi bahagian kanan merupakan sesuatu yang mana kita diajar untuk memuliakannya. Kita makan dan minum dengan tangan kanan, beri sedekah dengan tangan kanan, dan masuk masjid dengan kaki kanan. Kita basuh berak kencing pula dengan tangan kiri, dan masuk jamban kaki kiri. Inilah dia namanya adab. Adab jika ditinggalkan lama-kelamaan akan meninggalkan Sunnah. Sunnah pula jika ditinggalkan lama-kelamaan akan meniggalkan yang Wajib. Apabila yang Wajib ditinggalkan, samalah dengan kita meninggalkan agama.

Saya berfikir lagi dan teringatkan sesuatu. Saya pernah memandu di Perancis yang menggunakan sistem pemanduan sebelah kanan. Walaupun untuk pertama kali memandu kereta left hand drive saya tidak merasa kekok atau janggal atau ganjal. Bahkan saya cool sekali mampu memotong kereta-kereta yang dipandu perlahan di lebuhraya tanpa was-was. Mungkin kekok pada beberapa minit pertama tapi tidaklah lama ye adik-adik. Ini mungkin kerana saya bukan seorang kidal dan sensitiviti kanan saya tinggi maka ini tidak menjadi masalah. Pelik pula apabila saya pulang bercuti setelah hampir 2 tahun tidak pulang ke Malaysia, saya menjadi was-was di lorong manakah saya patut berada ketika memandu dan lorong manakah untuk saya memotong. Maka saya pun tidaklah memotong dan duduk diam sahaja jika ada pemandu perlahan di depan saya. Saya redha. Pengalaman lain pula adalah ketika membayar tol. Saya berasa amat selesa untuk membayar tol di Perancis kerana saya boleh memberi wang dengan tangan kanan tanpa perlu bersusah-payah untuk menggunakan tangan kanan seperti di Malaysia(ya betul...sila bayangkan).Begitu juga ketika hendak makan ketika memandu. Mudah sekali tangan kanan ini mencapai makanan yang lazat-lazat dan gurih di sisi sekaligus disuap ke mulut tanpa perlu melibatkan penggunaan tangan kiri. Bukankah pemanduan menjadi lebih selamat begitu? Mungkin kemalangan jalanraya yang banyak di Malaysia adalah disebabkan percubaan menyuap makanan ke mulut menggunakan tangan kiri. Akibat kejanggalan menggunakan tangan kiri makanan pun tersuap ke mata bukan ke mulut. Siapa tahu. Selain itu saya juga dapat melangkah memasuki kereta dengan kaki kanan apabila memandu kereta Left Hand Drive. Saya pasti ini mustahil jika menggunakan kereta Right Hand Drive kecuali jika anda seorang yang gimnastik. Ketika saya menghisap rokok dahulu pun saya boleh menggunakan tangan kiri untuk memegang rokok di luar tingkap kereta kerana saya tidak suka merokok menggunakan tangan kanan.


Sebelum Perjalanan 7 jam menggunakan jalan
kampung ke Perancis memandu Opel Zafira


Saya pun membuat kesimpulan banyak juga kelebihan sistem pemanduan sebelah kanan di eropah ini. Banyak juga adab yang dapat dipelihara. Dan baru-baru ini pula saya terdengar yang di dalam ritual haji dan umrah sendiri iaitu berulang-alik antara Safa dan Marwa (Sa'ie) menggunakan sistem Right Hand Traffic(Saya tidak tahu kerana masih belum sampai ke sana.Betulkan jika salah). Kalau begitu tidak syak lagi Right Hand Traffic adalah lebih baik. Tak baik banyak pun adalah sikit. Topik ini bukanlah perdebatan hangat. Saya cuma mahu memberi pendapat.


Itulah dia sedikit sebanyak ilmu yang saya ada untuk dikongsi. Dan untuk pengetahuan anda Xbox360 saya pun telah arwah beberapa minggu lepas. Kabel TV pun rosak maka tidaklah boleh menonton telibesen. Mungkin akibat tidak boleh membunuh masa dengan bermain Pro Evolution Soccer lagilah yang menyebabkan saya menulis blog ini. Babai.

Wassalam

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

cerita based on experience..best2..haha

ザ-sylver- S berkata...

hahaha..
aku lg suke RHD, dan kat jpon sumer keter pon RHD..maka bole sgtla bawak balik keter blik..:P
btw nice story dude~