Sabtu, 16 Oktober 2010

Al-Fatihah



Sedekahkan Al-Fatihah buat rakan saya Allahyarham Taufiq Shariff yang telah pergi meninggalkan dunia ini. Doakan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.


Bersama Arwah ketika melawat Venice.

Dalam setahun ini sudah tiga rakan seperjuangan saya yang meninggal dunia. Seorang sebaya meninggal di sini akibat kanser lymphoma , seorang senior setahun meninggal di Malaysia juga kerana kanser Lymphoma dan Topek senior 4 tahun saya yang hanya beberapa hari yang lalu disahkan mempunyai Brain Tumor dan dijadualkan untuk pembedahan pada hari ini tetapi telah tertulis di Luh Mahfuz bahawa tempoh hidupnya di dunia ini akan tamat sebelum pembedahan dilakukan.

Mereka semua masih muda, punya masa depan cerah, punya cita-cita tinggi. Tapi itu tidak menghalang malaikat maut untuk mencabut nyawa hamba Allah bila mana sudah tiba masanya untuk roh seseorang keluar dari jasad yang telah didiami.

Sesungguhnya tiadalah sesuatu yang pasti di hadapan kita kecuali kematian. Biar impian setinggi awan, harta sedalam lautan, ilmu seluas daratan, pasti hujungnya adalah kematian.

Sama-samalah kita mempersiapkan diri kita menghadapi kematian agar kematian kita nanti disambut oleh malaikat-malaikat yang berseri wajahnya membawa roh kita menuju kepada keredhaan Allah. Amin.

Selasa, 12 Oktober 2010

Konvokesyen



1. Minggu lepas mungkin minggu konvokesyen kerana banyak kawan-kawan saya yang upload gambar mereka konvo di Pesbuk. Tahniah saya ucapkan kepada mereka. Semoga terus berjaya di dunia dan akhirat.

2. Di sini kami tiada majlis konvokesyen. Saya akan menerima sijil saya daripada posmen yang menghantar sijil ke rumah. Ataupun jika sijil dapat dikeluarkan awal bolehlah saya mengambil sijil daripada kerani universiti.

3. Tapi saya tidaklah kecewa kerana tiada majlis konvokesyen kerana saya memang berpendapat tidak perlu konvokesyen. Begitu juga dengan rakan-rakan sekelas saya. Terlalu banyak protokol dan formaliti hanya untuk sekeping sijil. Apatah lagi sekeping sijil yang belum tentu boleh menjamin masa depan kita.

4. Lagipun saya dah pernah konvokesyen lebih kurang 20 tahun yang lalu.


Grad tadika 20 tahun yang lalu

5. Dan yang lagi pasti saya dan anda semua akan melalui satu lagi majlis konvokesyen di Hari Pembalasan kelak. 'Sijil-sijil' kita akan berterbangan pada 'hari konvokesyen' itu menuju ke tangan kita. Andai kata sijil itu menuju ke tangan kanan kita nescaya beruntunglah kita. Tapi jika sijil kita menuju ke tangan kiri kita nescaya tergolonglah kita di kalangan orang-orang yang rugi dan binasa.

6. Dalam sijil itu akan tercatat segala amalan yang telah kita kerjakan di dunia biarpun nilainya sebesar zarah. Dengan sijil itu ditentukan sama ada kita ahli neraka atau ahli syurga. Pada masa itu tidak berguna lagi sijil Diploma, Bachelor, Master, atau Doktor yang kita impi-impikan di dunia.

7. Pada hari itu tidak semuanya bergembira seperti hari konvokesyen di dunia. Pada hari itu semua gelisah menanti keputusan 'ujian dunia' yang telah dilalui. Pada hari itu juga anak-anak lari dari ibu-bapa mereka, suami lari daripada isteri. Semuanya kerana bimbang hak-hak dunia akan dituntut.

8. Sesungguhnya 'hari konvokesyen' yang sebenar itu adalah hari yang penuh dengan huru-hara. Tidaklah indah seperti seperti hari konvokesyen kita di dunia.

Semoga kita digolongan di kalangan mereka yang menerima buku amalan di tangan kanan.


Jumaat, 8 Oktober 2010

Kembali

1. Rosmah (nama sebenar) dikatakan telah melawat pusat remaja hamil yang membantu remaja hamil luar nikah di Brussels untuk melihat pendekatan mereka dalam menguruskan remaja hamil luar nikah bagi menangani masalah buang bayi.

2. Bukankah kita sudah ada panduan dari Quran dan Sunnah yang didatangkan dari yang maha pencipta. Dia maha mengetahui apa yang kita perlukan kerana Dia yang mencipta kita.

3. Islam sudah menyediakan segala macam panduan untuk segala macam bidang. Daripada hal-hal kecil seperti adab makan hinggalah ke urusan pentadbiran negara.

4. Sistem kewangan dunia yang berunsur riba ternyata gagal dan hanya dapat diubati dengan sistem kewangan Islam berlandaskan Quran dan Sunnah. Begitu juga dengan permasalahan lain seperti masalah sosial, ubatnya hanyalah kembali pada Quran dan Sunnah.

5. Usaha untuk kembali perlulah bermula dari diri kita sendiri dan keluarga kita. Pastikan Quran dan Sunnah menjadi satu-satunya medium yang memandu arah untuk kita, bukannya drama bersiri, novel-novel cinta, lagu-lagu yang melalaikan dan pelbagai medium lain yang sedia maklum telah memandu remaja kini ke arah kebinasaan.

Kerja Sendiri

1. Saya tidak mahu makan gaji, kerana saya tidak akan mempunyai kebebasan dalam mengurus kehidupan terutama kebebasan beramal.

2. Saya punya cita-cita untuk membantu ekonomi Islam supaya umat Islam tidak lagi perlu bergantung kepada orang kafir.

3. Makan gaji akan menjadikan saya seorang yang dikawal oleh orang atasan dalam membuat keputusan dan bukan bertindak atas kemahuan saya.

4. Bila bekerja sendiri saya boleh menentukan sendiri halatuju organisasi saya supaya selaras dengan misi saya.

5. Saya amat yakin bila kita ikhlas untuk membantu agama Allah, Allah akan membantu kita. Bermakna bila saya berusaha untuk menyumbang sesuatu kepada Islam, Allah akan bersama saya.

6. Saya mahu manusia kembali Al-Quran dan Sunnah dengan menjadikan organisasi saya sebuah organisasi yang mampu memanipulasi mentaliti manusia sebagaimana yang dilakukan sektor media massa pada hari ini.

7. Mungkin cita-cita saya terlalu tinggi tetapi optimistik itu adalah sikap orang beriman.

8. Doakan agar cita-cita murni saya tercapai.