Sabtu, 29 Ogos 2009

Mensyukuri Ramadhan


Salam

Saya sudah 5 hari berada di Malaysia. Seronok rasanya dapat "berramadhan" di Malaysia kerana ada suasana Ramadhan walaupun tidak secara total. Tapi pastilah lebih baik daripada berpuasa di negara orang kapiaqq. Makanan di sini pun lebih lazat. Tak perlulah saya berbuka puasa memakan makanan yang sama untuk dua hari seperti di German kerana tiada bahan untuk memasak(alasan tipikal apabila malas). Selain itu kurang jugalah dugaan untuk mata ini memandangkan sekarang musim buah(buah dada) atau lebih tepat lagi musim panas. Lu orang seksi gua yang seksa.

Bercerita pasal makanan, pernah saya di pagi raya di German hanya memakan lebihan makanan berbuka hari sebelumnya, itu pun sedekah lebihan makanan daripada Organiser majlis berbuka puasa di Uni. Syahdu sungguh pagi itu. Tapi itu pun sudah cukup baik. Saya teringat di Afrika ada saja manusia yang hanya makan pai tanah atau pucuk daun kerana kemiskinan. Di Malaysia sendiri ada yang terpaksa makan siput babi kerana terlalu miskin. Maka saya yang dapat menjamah nasi sepinggan dua siap tambah daging burger sekeping dua haruslah bersyukur.


Saya tak tipu. Di Haiti ada orang buat pai pakai tanah campur garam dan sedikit sayur.

Cakap pasal sepinggan nasi pula pernah saya dalam satu majlis makan-makan apabila ada orang mengkomplen rambut di dalam makanan terfikir satu peribahasa: Marahkan rambut sehelai di dalam nasi, nasi dan tukang masak sekali lu bakar atau Sehelai rambut di seberang lu nampak, beribu butir nasi depan mata lu tak nampak. Maksudnya janganlah kita komplen lebih-lebih kalau ada sehelai rambut dalam makanan kita kalau rezeki nasi untuk kita tu kita tak reti nak bersyukur pun. Betul tak? Ini tidak kalau jumpa rambut sehelai dalam makanan komplen berbakul walhal nasi dah dua pinggan telan baca bismillah pun tidak, apatah lagi nak bersyukur. Tukang masak pun bukannya sengaja mahu meletakkan bulu dalam makanan, jadi janganlah dimaki mereka. Memang mereka keturunan berbulu lebat, apa boleh buat. Kita perlulah bertoleransi sesama manusia, barulah tercapai matlamat One Malaysia Pak Jib kita. Salam 1Malaysia.

Tapi kita hanyalah manusia, dan Allah cakap kebanyakan manusia itu tidak bersyukur. Dan pastinya saya pun tergolong dalam kebanyakan manusia. Dulu-dulu saya berfikir, kalau buat amalan baik ganjarannya berlipat kali ganda dan kalau buat jahat hanya dikira satu (tidak dilipatganda), ini maknanya banyaklah amalan baik saya kerana lipatganda itu bukanlah sikit tetapi boleh jadi hingga 700 kali ganda. Saya fikir pula kalau saya membandingkan amalan kebaikan dan amalan kejahatan saya senanglah untuk masuk syurga kerana amalan kebaikan banyak dilipatganda. Itulah dia antara sindrom "perasan boleh masuk syurga" yang saya alami dahulu. Tapi setelah saya kenal agama barulah saya faham tidak semudah itu untuk masuk syurga kerana apabila saya membandingkan pula nikmat Allah kepada saya dengan amalan kebaikan saya pasti amalan kebaikan saya jauh lebih sedikit daripada nikmat yang saya peroleh. Daripada nikmat masa lapang, tubuh badan sihat, harta-benda, akal sempurna dan banyak lagi yang saya peroleh berapa banyak yang saya manfaatkan untuk melakukan kebaikan dan berapa banyak pula saya gunakan untuk amalan dosa atau amalan yang sia-sia. Kalau ditimbang pastilah jauh lebih berat nikmat Allah pada saya. Ia seperti membayangkan satu jongkang-jongket yang di satu hujung diletakkan amalan kebaikan dan hujung yang lain diletakkan amalan kejahatan kemudian di fulkumnya(di tengah-tengah) diletakkan nikmat Allah yang mana jika nikmat itu digunakan untuk kebaikan maka ia akan memberatkan timbangan amalan kebaikan kita dan jika ia disia-siakan atau digunakan ke arah kejahatan maka ia memberatkan amalan kejahatan dan dapatlah kita bayangkan berapa banyak nikmat yang kita sia-siakan dan nikmat yang kita lorongkan ke arah kejahatan secara sedar atau tidak sedar. Itulah akibat tidak bersyukur dengan nikmat. Oleh itu, tak bolehlah kita perasan boleh masuk syurga hanya dengan mengharapkan amalan kebaikan yang dilipatgandakan. Sudahlah dosa pun banyak, tak bersyukur pula tu. Podah cit.

Tapi Allah itu sangat menyayangi hambanya. Dia telah mendatangkan bulan Ramadhan yang penuh dengan nikmat. Syaitan diikat, pintu syurga dibuka seluas-luasnya, pintu neraka ditutup, amalan juga dilipatganda, dan ramai yang lepas dari azab neraka pada bulan Ramadhan. Itulah nikmat Ramadhan. Berbaloi-baloi kata Amy Search. Jadi bersyukurlah dengan menambahkan amal kebaikan dan paling penting ketahuilah Ramadhan bukan seperti bulan-bulan yang lain. Bukan sekadar puasa menahan lapaqq. Rebutlah tawaran keampunan dan kebajikan bulan ini kerana mungkin tahun depan tak sempat. Jangan hanya merebut tawaran di shopping complex atau bazar ramadhan. Saya dengar pusat karaoke juga ada buat tawaran. Tiada respek terhadap Ramadhan nampaknya di situ.

Oklah. Ramadhan ada 20 hari lagi. Cepat-cepat.

Chow sin chi. Salamalaykum

Khamis, 20 Ogos 2009

Praktikal, Umrah, Hari jadi, dan Ramadhan




Selamualaykum,

Begini ceritanya. Sepanjang Mac hingga Julai saya telah mempraktikalkan diri saya di sebuah Firma di sini secara bersungguh-sungguh. Banyak pengalaman berguna dan tak berguna telah saya peroleh dan insyaAllah akan saya gunakan untuk kebaikan diri ini. Bukan itu saja ye adik-adik, saya juga telah memperoleh gaji yang membolehkan saya membawa diri ke Arab Saudi selama 18 hari dan semestinya untuk menunaikan umrah. Alhamdulillah sampai juga saya ke sana.

Maka sehari selepas tamat Praktikal berangkatlah saya dari Lapangan Terbang Munich ke Jeddah. Kemudian dari Jeddah saya sekali lagi menaiki kapal terbang ke Madinah. Saya berada 4 hari pertama di Madinah dan selebihnya di Makkah. Sepanjang 18 hari itu saya telah melepakkan diri bersama dua orang sahabat keturunan Turki yang telah lama menetap Germany. Salah seorang dari mereka pernah menunaikan Umrah sebelum ini dan saya banyak belajar daripada beliau memandangkan kami tiada mutawwif atau organiser seperti kebanyakan jemaah lain.


Fatih Karahan dan Erdal Cetinkaya di Jabal Uhud

Kebetulan pada 10 hb 8 merupakan harijadi dan saya telah berhajat di hati untuk pergi mencium Hajarul Aswad pada hari itu (by the way terima kasih kepada mereka yang memberi ucapan hari jadi melalui muka buku dan ym) . Maka sebelum waktu Zuhur saya pergi ke Kaa'bah dan mula bertarung tanpa senjata dengan Jemaah lain untuk mencium Hajarul Aswad. "Iyah Iyah", kata saya di dalam hati ketika bertarung. Akhirnya Allah telah memakbulkan hajat saya dan saya pun berjaya mencium Hajarul Aswad yang dahulunya dikatakan berwarna putih, tetapi sekarang berwarna hitam kerana telah dicium oleh jemaah-jemaah yang datang membawa dosa sebesar kapal yang besar seperti saya.

Seperti sedia maklum di sekeliling Kaa'bah merupakan tempat mustajab untuk berdoa. Oleh itu saya telah berdoa untuk diri saya, keluarga, saudara-mara, rakan-rakan, guru-guru saya...pendek kata untuk semua orang yang saya kenali. Semoga doa-doa saya untuk anda semua dimakbulkan Allah.

Banyak sebenarnya yang ingin saya cerita untuk menaikkan semangat anda untuk pergi ke tanah suci dan merasai sendiri pengalaman di sana kerana saya rasa di sana kita akan berasa lebih dekat dengan Allah dan lebih dekat dengan Akhirat dan dapatlah kita meningggalkan sebentar perkara-perkara dunia yang setiap hari kita duduk sibuk-sibuk. Tapi saya kemalasan kerana saya baru sampai di rumah dan ingin lepak sambil menonton Nur Kasih yakasi yakasi sebanyak tiga episod yang belum dilayan lagi.

Apapun Ramadhan hanya di sekitar penjuru. Marilah kita jadikan Ramadhan tahun ini yang terbaik sepanjang kehidupan kita. "Mari-mari", kata anda.

Sebagai penutup saya hidangkan sedikit gambar selama saya berada di sana.


"heeeee"




"huuuuuuu"

Bai.Selamualeykum