Selasa, 27 April 2010

Mendaki Akhirat

Hidup di dunia ini ibarat mendaki menuju ke puncak bukit. Penuh dengan halangan dan cabaran. Tapi bila sampai di puncak, kita akan merasa puas. Tak percaya boleh tanya orang yang suka daki bukit apa perasaan mereka bila sampai di atas puncak? Pasti seronok dan puas hati. Ia bagaikan satu kemenangan yang sudah lama diimpi-impikan. Begitu juga dengan kehidupan insan. Kalau hidup nak seronok saja, tidak mahu letih, tidak mahu mujahadah, tidak yakin pada kenikmatan yang tersedia di puncak maknanya kita makin jauh dari puncak, turun ke bawah, makin jauh dari tujuan kita.

Apa arah tujuan kita? Arah tujuan kita adalah negeri Akhirat, arah tujuan kita adalah Allah. Puncaknya adalah syurga, di bawahnya neraka dan azab yang keras. Hard rock punya cakaplu. Kita pasti sesekali kita akan terjatuh, sakit pinggang atau lelah kerana puncak itu bagaikan terlalu jauh dan upaya kita pun punya hadnya. Tapi itulah dia halangannya. Jalan ke puncak itu sememangnya dipenuhi dengan batu-batu besar dan duri-duri yang menyakitkan. Kadang-kadang pasti terfikir yang jalan mudah adalah kembali ke bawah walaupun akan terlepas segala nikmat yang berkekalan di puncak.

Kunci untuk terus mujahadah menuju ke puncak adalah memahami hakikat puncak yang kita tuju: Alam Akhirat. Alam yang sebenar-benar alam dan lebih kekal berbanding dunia. Sayang sekali kita begitu sayang akan dunia yang sudah pasti akan ditinggalkan bila tiba ajal. Sayang sekali kita lebih banyak buat usaha untuk dunia sedangkan kita tahu dunia pasti akan meninggalkan kita walhal usaha untuk menghadapi mati kita abaikan sedangkan mati itu pasti akan mendatangi kita. Malah mati itu sangat dekat dengan kita.

Dunia itu sangat rendah nilainya di sisi Allah. Sangat rendah ibarat tiada nilai. Kalau itu yang kita kejar, maknanya kita sedang menuruni bukit ke arah sengsara yang berkekalan dan tidak dapat dibayangkan. Sedangkan di puncak tersedia nikmat yang juga berkekalan dan tidak dapat dibayangkan. Nikmat untuk mereka yang sabar dan yakin pada negeri Akhirat. Moga Allah jadikan kita antara hambaNya yang berjaya sampai di puncak.


Ini gambar semasa mendaki Jabal Thur, Mekah. Sebenarnya ada tangga nak naik atas tapi aku saja posing kat situ supaya nampak power.