Bagaimanakah sebenarnya adab untuk bergurau? Perkara ini sememangnya tidak diajar di Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah/Rendah ataupun di sekolah agama. Namun Rasulullah mengajar kita melalui sunnahnya dari perkara yang sekecil-kecilnya seperti adab di jamban hingga ke perkara yang sebesar-besarnya seperti pembentukan undang-undang sebuah negara.
Kisah 1
Suatu hari seorang sahabat yang akan menempuhi ekspedisi meminta kepada Rasulullah untuk dibawa menaiki kenderaan. Rasulullah pun berkata dia akan membawa lelaki itu menaiki anak unta betina. Sahabat ini pun bingung kerana membayangkan anak unta betina kecil yang bahkan tidak mampu membawa penumpang. Kemudian Rasulullah menjelaskan kepada sahabat yang bingung itu yang bukankah semua unta pun adalah anak unta betina. Subhanallah.
Cantik sungguh baginda bergurau. Dalam bergurau baginda tidak berdusta, apatah lagi menyakiti hati orang lain, bahkan ada unsur-unsur dakwah. Tergambar kemuliaan dan keindahan peribadi baginda. Pertama kali aku dengar riwayat ni tersenyum aku sorang-sorang. Cair beb cair walaupun jiwa rock tapi tetap cair. Rindu rasanya bila agaknya dapat bertemu dengan baginda.
Kisah 2
Satu lagi riwayat menceritakan yang ada seorang wanita tua pergi berjumpa Rasulullah dan meminta Rasulullah supaya mendoakan agar dia dapat masuk syurga. Rasulullah pun berkata yang syurga takkan dimasuki oleh orang tua. Wanita itu pun sedih dan Rasulullah memberitahu yang dia tidak akan masuk dalam keadaan tua kerana di dalam syurga semua wanita akan dijadikan gadis-gadis perawan.
Moral
Begitulah Rasulullah mengajar kita untuk bergurau. Berguraulah dengan menyatakan kebenaran, tidak menyakiti hati orang dan sambil berdakwah. Kalau dibandingkan dengan kita punya gurau memang jauh beza. Kerja nak mengutuk orang, menglentong orang, sudahlah takda unsur pengajaran langsung. Semoga Allah ampunkan kita. Marilah kita bergurau secara berhikmah. cheh gurau....